Tuesday, April 28, 2009

Penggabungan Kelas dan Percaturannya

Salam kepada semua pembaca blog saya...

Seperti yang anda dan saya sedia maklum, akan berlaku satu peristiwa penting khususnya bagi pelajar semester 2 dan 4 Diploma Komunikasi dan Media semester ini kerana akan adanya penggabungan kelas untuk mengurangkan jumlah kelas di samping memenuhkan ahli setiap kelas dengan semaksimum mungkin. Antara sebab utama hal ini berlaku adalah kerana fakulti kekurangan pensyarah. Jadi fokus saya pada hari ini adalah khusus kepada rakan-rakan saya di semester 2.

Penggabungan kelas ini akan menyebabkan kelas asal MassComm semester 2 akan mengecil dari 9 buah kelas ke hanya 7 buah kelas bermakna kelas H dan J akan lenyap. Ramai yang telah membuat kesimpulan awal tanpa mengetahui bagaimana semua ini diatur. Di antara andaian yang timbul ialah:

1. Kesemua nama akan diubah kembali dan pembahagian kelas adalah mengikut kehendak fakulti di mana pelajar tiada kuasa untuk memilih.

2. Pelajar-pelajar kelas H dan J akan dibahagikan secara sama rata bagi memenuhkan kelas yang sedia ada.

Namun, setelah saya berjumpa dengan koordinator program ini dua hari yang lalu, beliau telah menjelaskan bagaimana sebenarnya proses ini akan dilakukan.

a) Kelas H dan J memang akan tiada dan kita hanya ada 7 buah kelas iaitu DMC 3A. DMC 3B, DMC 3C, DMC 3D, DMC 3E, DMC 3F dan DMC 3G.

b) Secara automatiknya, kesemua kelas ini akan dikosongkan.

c) Hal ini membawa maksud pelajar-pelajar diberi kuasa (yang saya kira satu peluang) untuk memasuki mana-mana kelas yang ada dengan sesiapa sahaja yang mereka suka.

d) Namun syarat yang saya ketahui, setiap kelas haruslah mempunyai 28-29 orang pelajar.

e) Tentang kuota yang berkaitan dengan jantina, tidak pula saya ketahui.

f) Jadi, pelajar bolehlah memilih untuk bersama dengan mana-mana rakan MassCOmm yang mereka rasakan mampu bekerjasama dan masuk ke mana-mana kelas.

Sebenarnya, apa yang pihak fakulti mahukan adalah apa yang dinamakan "win-win situation" di mana semua pihak sekurangnya mendapat manfaat. Saya kira kita tentunya mahu bersama dengan rakan-rakan yang saya kira setia menemani kita sepanjang dua semester kita berada di sini. Namun kita harus menerimanya dari sudut yang positif. Antara kebaikan yang dapat saya simpulkan (berdasarkan pandangan peribadi saya)

1. Kita tidak tahu dengan insan bagaimanakah akan kita hadapi apabila kita berada di industri kelak namun ini seolah-olah cabaran dan latihan untuk kita berdepan dengan orang yang saya kira baru dan belajar mengenai kehidupan.

2. Kita juga dapat belajar dengan tenang kerana saya kira tidak akan ada lagi isu-isu tentang kekurangan pensyarah, pensyarah tiada dan sebagainya.

3. Ini adalah platform untuk kita menyerlahkan bakat dan kemampuan kita yang lebih tinggi kerana saya kira persaingan semakin sengit.

4. Cetusan idea yang bernas dan bermutu dapat dicerna melaui perkongsian kemahiran dan pengalaman dalam kalangan pelajar.

Saya pasti yang akan ada keadaan di mana rumah siap pahat berbunyi. Saya kira, kita tidak dapat untuk puaskan hati semua pihak namun penyelesaian yang terbaik pasti ada walaupun kadang-kala kita memberontak. Bagi saya, fokus kita di sini adalah untuk menimba ilmu dan saya kira peristiwa ini bagaikan memberi petanda betapa susahnya perjalanan kita untuk menuju ke puncak kejayaan. Selagi ada peluang untuk kita menapak, rebutlah dan gunakanlah sebaik mungkin. Jadikan sumber inspirasi kita sebagai motivasi terunggul dalam mencapai kejayaan. Jika insan itu adalah ibu bapa, maka tunjukkanlah kesungguhan kita. Semoga berjaya dalam peperiksaan akhir buat semua pelajar Diploma Komunikasi dan media, UiTM Melaka.

Berburu Ke Padang Datar,
Dapat Rusa Berbelang Kaki,
Berguru Kepalang Ajar,
Bagai Bunga Kembang Tak Jadi.

1 comment:

NorshazmieraFazlyna said...

ouh.
kelas korang yang kena bubar eyh?
before this, we thought part 1 yang kena.
huhu.