Sunday, August 30, 2009

Merdeka:)

Salam 1Malaysia kepada semua pembaca blog.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan buat semua warga Malaysia terutamanya kepada para pemimpin.
Beberapa minit lagi akan genaplah 52 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan, satu keadaan di mana kita perlu menghargainya jika kita tahu betapa sukar dan berusaha para pemimpin terdahulu memperjuangkannya.
Semoga diri saya, anda dan semua dapat menyelami erti kemerdekaan yang sebenar agar kita masih berpijak di bumi yang nyata yang kita rakyat Malaysia.

Semoga Malaysia akan lebih aman, lebih berjaya baik dari ekonomi, sosial mahupun politik.
Saya sayangkan negara saya dan berjanji akan cinta selama-lamanya untukmu, MALAYSIA.

Artis : Dato' Siti Nurhaliza
Komposer : Aubrey Suwito
Penulis Lirik : Dato' Siti Nurhaliza
Tajuk : Satu Malaysia

Kejayaanmu
Kebanggaanku
Semuanya atas satu perjuangan

Kesyukuranku
Keamananmu
Segalanya atas satu perpaduan

Rakyat bersatu seiring dan maju
Pencapaian jadi mercu

Satu tak mengenal bangsa
Tak memisahkan kita
Terus perkasa

Kita satu Malaysia
Teguh ikrar bersama
Negaraku tercinta
Satu bangsa Satu Malaysia

Thursday, August 20, 2009

Syaaban Pun Berbayu, Ramadhan Pun Bertamu

Salam buat semua pembaca blog.
Saya pasti di saat ini, semua umat Islam di seluruh dunia terutamanya di Malaysia berasa gembira menantikan kedatangan Ramadhan kali ini.
Ya. Peluang berbuka bersama-sama keluarga tercinta sudah pasti memberikan satu erti kemanisan yang amat mendalam.
Bulan Ramadhan juga adalah bulan di mana, kebanyakan umat Islam mengambil kesempatan mendekatkan diri kepada-Nya.
Tarawikh, puasa serta doa merupakan aktiviti harian yang saya kira bakal diisi dengan keimanan yang bercambah merafa'kan syukur kepada-Nya atas segala nikmat yang telah diberikan.

Ramadhan kali ini mungkin juga berbeza bagi sesetengah dari kita yang menyambutnya tanpa belaian orang yang tersayang di sisi. Peluang berbuka puasa bersama arwah nenek tercinta Ramadhan lepas masih lagi segar diingatan. Bila tiba Ramadhan hati jadi sayu bila teringatkan saat-saat manis ke Bazar Ramadhan bersama arwah abang yang tersayang. Walaupun mereka berdua tiada lagi disisi, saya pasti bukan sahaja diri ini yang merindui. Semoga kalian tenang bersama-Nya.

Ramadhan mencabar kita semua dari segi ketahanan semua aspek. Fizikal, mental, emosi dan spiritual bakal diduga sepanjang bulan ini. Ya. Kadang kala diri ini juga tewas. Berbelanja sakan di Bazar akibat akur dengan kehendak nafsu tetapi akhirnya juadah berlebih-lebihan. Semoga Ramadhan kali ini boleh saya jadikan platform mengawal nafsu saya. :)

Sambil itu, diri ini terfikir bagaimanlah agaknya saudara2 kita yang lain menyambut Ramadhan kali ini? Adakah seselamat kita di sini? Hanya doa mampu ditadahkan agar umat Islam kita di seantero dunia dapat menyambut kedatangan Ramadhan kali ini dengan penuh barakah, bukan dengan serakah berpayungkan darah.

Akhir kata selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak buat keluarga di Raub, seluruh warga UiTM terutamanya pensyarah serta rakan-rakan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, warga SM Sains Tengku Abdullah, putera2 Lekir, orang2 kampung di Raub dan sesiapa sahaja yang mengenali diri ini dan tak dilupa; seluruh umat Islam.

Selamat Berpuasa!!!

Saturday, August 15, 2009

Rezeki. Nikmat. Ketentuan. Kerja Keras

Salam buat semua pembaca blog.
Agak lama diri ini tidak menyinggah ke blog sendiri.
Kesibukan menguruskan beberapa urusan.
Baiklah apa yang ingin saya kongsikan dengan anda semua hari ini adalah beberapa perkara yang saya kira boleh dikaitkan dengan kehidupan seharian kita.

1. Rezeki

Ya. Apa sahaja perkara yang saya, anda dan kita semua lakukan kitalah yang merancangkannya. Selebihnya urusan yang di atas sana. Saya percaya kepada rezeki. jika diri kita hebat mana sekalipun, namun jika rezeki kita belum ditentukan-Nya. pasti kita tidak akan dapat menikmatinya. Teringat akan kata-kata bonda yang jika sesuap nasi itu bukanlah rezeki kita, takdirnya baru hendak menyuap ke mulut pun jatuh.

2. Nikmat

Alhamdulillah. Pertamanya saya bersyukur kepada Allah S.W.T yang telah banyak memberikan nikmat kepada kita sekalian alam. Bagi saya, tiada apa ynag lebih berharga dari diberikan nikmat yang cukup besar yakni Iman dan Islam. Rasanya tidak layak untuk berbicara mengenai kedua-dua "I" ini yang saya kira tanggungjawabnya cukup besar. Nikmat yang saya maksudkan ialah nikmat sebagai seorang insan yang diberi peluang untuk hidup dengan harapan. Harapan dari insan2 yang saya kira juga sebagai nikmat, iaitu keluarga kita. Oleh itu, menuntut ilmu dengan sebaik2nya serta dengan penuh semangat adalah salah satu cara kita menghargai nikmat2 tersebut.

3. Ketentuan

Perkara ini bukanlah sesuatu yang di bawah kawalan kita. Kita hanya merancang namun Tuhan yang menentukan. Segala ketentuan-Nya sama ada baik atau buruk kita terima dengan hati yang terbuka, tabah dan sabar kerana saya pasti di saat itu, emosi serta elemen spiritual kita berada di tahap yang paling sukar di mana kedua-duanya perlu dikawal.
Nilailah dari sudut yang positif agar diri kita dapat melakukan penghijrahan yang murni menentang nilai negatif.

4. Kerja Keras

Usaha yang berterusan dan dilakukan secara komited memungkinkan kita dapat mencapai kejayaan yang kita idamkan. Allah S.W.T sendiri menuntut umat Islam untuk berusaha memperbaiki taraf hidup masing-masing tidak kiralah dari aspek siasah, ekonomi mahupun pergaulan. Saya petik satu madah pujangga yang saya kira menarik untuk direnungkan bersama

"Berjaya dengan USAHA, satu kepuasan,
Berjaya tanpa USAHA, satu kebetulan,
Gagal dengan USAHA, satu ketentuan,
Gagal dengan USAHA, satu penyesalan."

Kesimpulan yang dapat saya buat, berusahalah selagi mana anda daya kerana Allah itu Maha Adil, Maha Penyayang. Pasti setimpal balasan dari-Nya terhadap segala kerja keras kita. Amin.

Yang pasti keeempat-empat aspek ini saling berkait dan dapat kita rumuskan sebegini.

"Rezeki tidak akan datang bergolek tanpa kerja keras, kerana segala nikmat dari-Nya adalah satu ketentuan berdasarkan satu penilaian; HATI."

Kepada tanah kita datang, kepada tanah kita kembali. Amin.

Monday, August 3, 2009

Skrip 7707: Penilaian Dari Seorang Insan



Salam buat semua pembaca blog.
Diharapkan semua pembaca blog berada dalam keadaan sihat dan sejahtera hendak-Nya.
Semalam saya telah ke pawagam untuk menonton satu filem seram hasil karya pengarah tempatan yang tidak asing lagi, Prof. Madya A.Razak Mohideen iaitu filem Skrip 7707.

Baiklah. Suasana di dalam panggung agak lengang. Kurang dari 30 orang datang menonton.
Ya. Mungkin kerana filem ini sudahpun lama ditayangkan. Tidak dinafikan pengaruh filem-filem baru yang lain seperti The Proposal dan Setem yang tempiasnya turut mengenai Skrip 7707.

Saya sebenarnya bukanlah seorang yang terlalu berani namun saya gemar menonton filem-filem bergenre sebegini terutamanya filem-filem seram tempatan. Sebut sahaja Jangan Pandang belakang, Jangan Tegur, Pontianak Harum Sundal Malam dan pelbagai lagi filem seram yang lain, hampir kesemuanya telah saya tontoni.

Mengambil konsep yang saya kira lebih kurang sama dengan "4-Bia@Phobia", sebuah filem seram dari Thailand, Skrip 7707 yang menggabungkan 9 buah kisah seram yang kebanyakkannya sudah sebati dengan budaya kita cuba memaparkan kelainan yang tersendiri. Bak kata Prof. Madya melalui kajiannya tentang filem seram tempatan yang lambat kemuncak seramnya, satu pujian wajar diberikan kepada Prof serta seluruh tenaga produksi Skrip 7707 kerana berani tampil dengan kelainan.
Kisah 1: Hantu Perempuan di Asrama

Kisah ini agak klise bagi mereka yang pernah tinggal di asrama. Ya. Bilik yang menyeramkan dan kisah orang bunuh diri. Apa yang kelakarnya ialah pelakon yang memegang watak hantu dalam kisah ini iaitu Kenchana Dewi. Beliau yang lebih dikenali dengan watak komedi bagaimanapun harus diberikan pujian di atas keberanian beliau menunjukkan pelbagai variasi watak. Anda telah buktikan yang anda bukanlah calang-calang pelakon.

Komen:
Bagi saya, kisah ini adalah kisah yang paling kurang meter keseramannya. Cuma saya tertanya, apakah yang berlaku kepada Pekin selepas beliau dibawa oleh rakan-rakannya?

Kisah 2: Hantu dalam Lif

Memegang watak sebagai seorang pelajar Mass Comm, Que Haidar berjaya membawakan watknya dengan baik. Sekali lagi, pelakon komedi Sharifah Shahira membawakan watak hantu. Apa yang kurang di sini saya rasakan kesan solekan hantu pada Sharifah Shahira yang saya lihat tidak begitu menyeramkan.

Komen:
Babak juntaian rambut yang keluar dari lubang penghawa dingin itu agak menjadi.

Kisah 3: Hantu pemakan bayi a.k.a bidan puaka

Mak Jah memgang watak sebagai seorang bidan yang terkenal. Namun ketika Almy Nadia, anak kepada Ruminah Sidek ingin bersalin, ada hantu yang telah menyamar sebagai Mak Jah dan telah memakan bayi Almy Nadia dan menyebabkan Almy Nadia mati akibat kehilangan banyak darah. Mak Jah yang mempunyai ilmu dalam perubatan tradisional telah menghapuskan hantu tersebut menggunakan sebilah keris.

Komen:
Saya tidak puas melihat aksi Mak Jah melawan hantu tersebut.

Kisah 4: Kisah hantu roh yang tidak tenteram di sebuah wad

Seorang wanita telah ditahan di wad dan telah dilawati oleh rakan-rakannya. Sesampainya di sana mereka telah membuat bising tanpa menyedari ada makhluk lain berada di situ. Mereka kemudiannya telah ditegur oleh seorang orang tua yang sebenarnya sudah mati. Mereka kemudiannya dikejar dan lari lintang pukang.

Komen
Cerita yang agak tergantung kerana tidak diceritakan siapakah lelaki tersebut dan kaitannya dengan wad tersebut.

Kisah 5: Kisah mayat berubah wajah

Seorang penjaga rumah mayat terkejut apabila mendapati satu mayat telah berubah wajah. Dia didatangi oleh Seniwati Mariani sebagai emak kepada mayat tersebut dan Seniwati Mariani menceritakan tentang perilaku si mati semasa hidup. Namun, dia terkejut kerana mendapati yang Seniwati Mariani sebenarnya telah meninggal lima tahun dahulu.

Komen:
Cerita yang agak bagus pengolahannya cuma kurang berjaya dari segi mood seram itu sendiri.
Kisah 6: Kisah seorang mayat pemuda yang datang menuntut haknya

Seorang pemuda yang mati dalam sebuah kemalangan telah pulang ke rumahnya bagi menuntut haknya yang sebenarnya adalah jarinya yang tersangkut di motosikalnya. Kedatangan pemuda ini hanyalah disedari oleh adik perempuaannya yang berusia awal 10 tahun.

Komen:
Kesan seram yang ditunjukkan pada pemuda tersebut agak kurang menjadi.

Kisah 7: Kisah wanita yang diganggu roh anaknya yang digugurkan

Fasha Sanda melakonkan watak perempuan muda yang mengandung anak luar nikah hasil hubungan terlarang dengan seorang pemuda. Akibat pemuda tersebut tidak mahu bertanggungjawab ke atasnya, Fasha mengambil keputusan untuk menggugurkan anak dalam kandungannya sendiri menggunakan cara kampung. Kemudian, Fasha diganggu oleh roh anaknya sehingga dia terjatuh ke dalam sebuah perigi.

Komen: Babak gugur kandungan jika tidak silap saya telah dipotong oleh LPF namun tergelak sendirian bila melihatkan patung mainan yang digunakan sebagai bayi:)

Kisah 8: Kisah roh yang datang menuntut bela

Jehan Miskin membawa watak seorang penarik kereta yang juga seorang bouncer. Akibat kedegilannya yang telah membunuh seorang lelaki dan mencampakkan lelaki tersebut ke dalam gaung, roh lelaki tersebut menuntut bela dan membunuh Jehan.

Komen:
Cerita agak klise tanpa ada sebarang olahan yang menarik.

Kisah 9: Kisah hantu di hospital lama

Sekumpulan remaja telah pergi ke sebuah hospital loama untuk menyiasat mengenai misteri hospital tersebut. Di sana, pelbagai perkara menyeramkan berlaku. Seorang pemuda yang terlalu berani dan suka cakap besar akhirnya mengaku kalah dan takut kerana melihat video rakaman kawannya yang ada gambar hantu perempuan.

Komen:
Cerita yang saya rasa paling berkesan namun bukan yang terbaik.

Secara keseluruhannya, saya memberikan 2.5 bintang kepada filem ini. Jika anda tidak bersetuju dengan pandangan saya terpulang. Kita semestinya mempunyai selera yang berbeza. Tepuk dada tanya selera. Tepuk minda tanya hati. Semoga terhibur dengan ulasan saya. Salam:)