Saturday, August 15, 2009

Rezeki. Nikmat. Ketentuan. Kerja Keras

Salam buat semua pembaca blog.
Agak lama diri ini tidak menyinggah ke blog sendiri.
Kesibukan menguruskan beberapa urusan.
Baiklah apa yang ingin saya kongsikan dengan anda semua hari ini adalah beberapa perkara yang saya kira boleh dikaitkan dengan kehidupan seharian kita.

1. Rezeki

Ya. Apa sahaja perkara yang saya, anda dan kita semua lakukan kitalah yang merancangkannya. Selebihnya urusan yang di atas sana. Saya percaya kepada rezeki. jika diri kita hebat mana sekalipun, namun jika rezeki kita belum ditentukan-Nya. pasti kita tidak akan dapat menikmatinya. Teringat akan kata-kata bonda yang jika sesuap nasi itu bukanlah rezeki kita, takdirnya baru hendak menyuap ke mulut pun jatuh.

2. Nikmat

Alhamdulillah. Pertamanya saya bersyukur kepada Allah S.W.T yang telah banyak memberikan nikmat kepada kita sekalian alam. Bagi saya, tiada apa ynag lebih berharga dari diberikan nikmat yang cukup besar yakni Iman dan Islam. Rasanya tidak layak untuk berbicara mengenai kedua-dua "I" ini yang saya kira tanggungjawabnya cukup besar. Nikmat yang saya maksudkan ialah nikmat sebagai seorang insan yang diberi peluang untuk hidup dengan harapan. Harapan dari insan2 yang saya kira juga sebagai nikmat, iaitu keluarga kita. Oleh itu, menuntut ilmu dengan sebaik2nya serta dengan penuh semangat adalah salah satu cara kita menghargai nikmat2 tersebut.

3. Ketentuan

Perkara ini bukanlah sesuatu yang di bawah kawalan kita. Kita hanya merancang namun Tuhan yang menentukan. Segala ketentuan-Nya sama ada baik atau buruk kita terima dengan hati yang terbuka, tabah dan sabar kerana saya pasti di saat itu, emosi serta elemen spiritual kita berada di tahap yang paling sukar di mana kedua-duanya perlu dikawal.
Nilailah dari sudut yang positif agar diri kita dapat melakukan penghijrahan yang murni menentang nilai negatif.

4. Kerja Keras

Usaha yang berterusan dan dilakukan secara komited memungkinkan kita dapat mencapai kejayaan yang kita idamkan. Allah S.W.T sendiri menuntut umat Islam untuk berusaha memperbaiki taraf hidup masing-masing tidak kiralah dari aspek siasah, ekonomi mahupun pergaulan. Saya petik satu madah pujangga yang saya kira menarik untuk direnungkan bersama

"Berjaya dengan USAHA, satu kepuasan,
Berjaya tanpa USAHA, satu kebetulan,
Gagal dengan USAHA, satu ketentuan,
Gagal dengan USAHA, satu penyesalan."

Kesimpulan yang dapat saya buat, berusahalah selagi mana anda daya kerana Allah itu Maha Adil, Maha Penyayang. Pasti setimpal balasan dari-Nya terhadap segala kerja keras kita. Amin.

Yang pasti keeempat-empat aspek ini saling berkait dan dapat kita rumuskan sebegini.

"Rezeki tidak akan datang bergolek tanpa kerja keras, kerana segala nikmat dari-Nya adalah satu ketentuan berdasarkan satu penilaian; HATI."

Kepada tanah kita datang, kepada tanah kita kembali. Amin.

No comments: